Make Me Strong - Sami Yusuf

Tuesday, November 27, 2012

Bahagia

Assalamualaikum,
Semua orang nak bahagia kan? Saya pon. Apa yang dikatakan bahagia tuh? Entahlah saya pon tak dak jawapan yang jelas dan konkrit. Tapi saya ada interpretasi saya sendiri tentang apa itu bahagia. Iyalah terutama apabila saya melalui semua yang berlaku sekarang  ini.
Saya dah letih menangis. Saya rasa penat tahan perasaan yang macam-macam tuh. Sungguh-sungguh melelahkan fizikal, mental, rohani dan emosi. Apabila saya lihat orang lain senyum, saya pon nak senyum macam tuh. Sebab, saya senyum tanpa rasa. Apabila saya ketawa, ia kerana situasi itu menuntut saya ketawa karang jadi kerang busuk pulak. Bukan kerana rasa lucu. Apabila saya sedih, ia bukan kesedihan tapi satu kemarahan dan ketidak puasan hati. Apabila marah ia bukan kerana saya patut marah, tapi kerana pemberontakan dalam diri. Aaah sungguh rumit nak di jelaskan.  Hanya Allah yang faham.
Jadi, apa sebenarnya bahagia? Pada saya, bahagia itu ialah berasa normal. Iya, normal seperti orang lain. Jangan susah-susah fikir tentang itu. Hanya saya yang faham. Bila saya kata normal, macam mana? Mmm saya nak senyum yang datang dari hati bukan yang senyum dibuat-buat. Saya nak ketawa dengan hati yang ringan dan spontan bukan dengan hati yang kelat dan berat. Memenatkan jer. Saya nak rasa sedih dengan hati yang tabah dan yakin bahawa kesedihan itu juga nikmat. Bukan satu musibah. Malahan satu tanda kasih dan sayang Nya. Saya nak marah kerana Allah bukan kerana benci, geram dan dendam. Saya nak rasa kecewa itu buat saya makin kuat nak mengharungi hidup bukan penuh keluhan dan rintihan. Saya nak sabar dengan penuh syukur. Saya nak, apabila saya pandang emak dan ayah saya rasa tenang. Apabila saya berjumpa dengan sanak saudara saya rasa mesra dan manis. Saya nak apabila saya bersama pelajar-pelajar saya, saya ceria dan bersemangat. Apabila saya melihat kehidupan sekeliling, saya akan kata, Alhamdulillah, cukup sudah apa yang saya miliki.
Biarpon saya akan sendirian hingga akhir hayat, ujian dan dugaan melanda, akan saya harungi tanpa memikirkan apakah keburukan dan kesan yang akan berlaku. Hanya keyakinan dan pasrah pada Ilahi menjadi penyuluh hidup saya. Senang cakap NO WORRIES. Inilah bahagia pada saya. Walaupon tak sempurna inilah yang saya rasa. Semoga Allah memaafkan saya kerana terlalu meminta-minta. Ameen.

RAHMAT SUAMI ISTERI BANGUN MALAM

Bahagia Qiyamullail - http://mahatera.blogspot.com/2011/12/rahmat-untuk-suami-isteri-yang-bangun.html

Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang merupakan impian setiap insan bukanlah sekadar terletak pada nilaian harta benda dan wang ringgit. Banyak rumah tangga yang hancur kerana mengikut teori kebahagian sendiri.

Mereka menyangkakan wang adalah segala-galanya... Namun setelah memperolehi semuanya itu, rumah tangga masih tidak bahagia. Suami isteri tidak mesra. Bahkan sentiasa berkrisis, bermasam muka dan berburuk sangka. Hubungan ibu bapa dan anak-anak renggang.Justeru itu, kebahagiaan bukan terletak kepada material semata-mata, yang paling utama ialah pimpinan suami itu sendiri.

Suami perlu mendidik isteri ke arah mencapai cinta Allah, cinta agama dan cinta akhirat. Cinta kepada Tuhan akan mendorong seseorang itu untuk berbuat kebaikan demi mencari redha Allah SWT.Setiap pasangan perlu saling bantu-membantu untuk memajukan diri mencari keredhaan Allah terutama sekali pada waktu keheningan malam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan takwa, janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pelanggaran.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)

 Malah Rasulullah SAW sangat suka kepada suami isteri yang saling bantu-membantu dalam ketaatan, rukuk dan sujud dalam kegelapan malam ketika semua manusia tidur dengan lenanya. Itulah sebenarnya petua kebahagiaan dunia dan akhirat.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah SAW bersabda,

"Mudah-mudahan Allah merahmati seorang suami yang bangun pada tengah malam lalu mengerjakan solat dan membangunkan isterinya sama-sama melakukan solat. Sekiranya dia enggan, maka dipercikkannya ke wajahnya. Mudah-mudahan Allah merahmati seorang isteri yang bangun tengah malam untuk mengerjakan solat dan juga membangunkan suaminya, jika dia enggan, maka dipercikkanlah air ke mukanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Menerusi hadis di atas jelaslah kepada kita betapa indahnya saat-saat seorang suami membangunkan isterinya dengan lemah-lembut seperti memercikkan air ke mukanya pada tengah malam supaya sama-sama melakukan ibadat kepada Allah SWT apatah lagi jika anak-anak dapat ikut serta.Betapa sayunya hati ketika ini mengenali dosa-dosa yang telah dilakukan. Air mata menitis tanda keinsafan. Zikir dialunkan tanda kesyukuran. Doa dipanjatkan memohon kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat. Kebahagiaan seperti inilah akan melahirkan jiwa yang tenang, aman damai, tiada ketakutan, tiada kebimbangan malah berada di dalam keadaaan redha dan diredhai Allah dunia dan akhirat.

Ini jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai jiwa yang tenang kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan diredhai. Masuklah dalam hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr, ayat 27-30)Diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abu Said r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang suami membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian mereka mengerjakan solat dua rakaat, maka mereka termasuklah atau tergolonglah ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kelebihan bertahajud

Antara amalan-amalan yang boleh menyelamatkan manusia dari azab akhirat ialah sentiasa bertahajud dan berqiyamullail.

Rasulullah SAW bersabda, ada sembilan kelebihan bagi orang yang bertahajud.Lima ketika di dunia:
Terselamat daripada beberapa bencana
Berkat ke atasnya akan jelas diwajahnya
Disukai oleh hamba Allah
Ucapannya penuh hikmah
Dijadikan orang yang bijaksana

Empat ketika di akhirat:
Dipimpin dari kubur dengan muka berseri-seri
Diringankan hisabnya
Meniti titian sirat seperti kilat
Menerima buku catatatan amal dari tangan kanan

Oleh itu, luangkan masa untuk bermunajat kepada-Nya agar tidak timbul penyesalan pada hari kemudian.

Monday, November 19, 2012

Sakit Yang Mesti Ditempuh


Penyakit Hati Yang Mesti Ditawan

1) Menundukkan ego

Tidak mudah seorang suami misalnya, hendak menundukkan ego di depan isteri. Demikian juga isteri untuk menundukkan ego di depan suami terutama jika isteri rasa mempunyai sedikit kelebihan dari suami. Dalam menjalani kehidupan, ada waktu-waktunya ego akan tercabar. Untuk menundukkan ego, hati akan rasa menderita dan sakit.

2) Mengawal marah


Ego dan sombong membuatkan mudahnya tercetus rasa marah dan tindakan marah-marah. Di rumah, di pejabat atau semasa memandu di jalan raya, ada saja insiden yang boleh mencetuskan rasa marah – sedikit atau banyak. Untuk mengawal marah perlukan kekuatan melawan nafsu. Ini memang susah kerana nafsu yang tidak boleh dilihat dan dipegang itu sangat degil. Susah untuk dikekang. Lebih-lebih kalau sudah terbiasa dilayan dan dipenuhi segala keinginannya, tentu tidak mudah untuk ditundukkan tanpa rasa susah dan sakit.

3) Membuang rasa malas

Malas beribadah, malas buat baik, malas untuk bersusah-susah… semua ini tabiat nafsu yang perlu dilawan-lawan. Nafsu akan buat berbagai-bagai alasan untuk mengajak diri kita bermalas-malas. Melawan ajakan nafsu ini memang susah dan kadang-kadang menyakitkan. Ikutkan nafsu, kita suka bersenang-lenang saja sementara waktu lapang. Tak payah susah-susah mengaji Quran, solat sunat, berzikir, berselawat, bersedekah dan buat macam-macam amal baik.

4) Membebaskan diri dari tabiat buruk mata, mulut, telinga dan lain-lain anggota

 
Nafsu sentiasa mengajak mata menonton apa-apa yang dilarang Allah atau yang melalaikan kita dari ingatan pada Allah. Atau memandang sesuatu yang boleh merangsang syahwat. Nafsu juga kuat mendorong mulut bercakap yang sia-sia dan boleh mendatangkan dosa seperti mengata orang dan memfitnah. Nafsu juga mengajak telinga mendengar yang haram, mengajak tangan dan kaki melakukan dosa. Untuk melawan semua ajakan nafsu ini, hati akan rasa sakit. Walaupun susah dan sakit, apa saja yang kita hadapi dan jalani dalam hidup, wajib kita terima dengan sabar, redha, syukur, merendah diri dan berbaik sangka dengan Allah dan dengan sesama manusia.


Susah dan sakit yang Allah datangkan bukan untuk merosakkan kita, sebaliknya untuk meningkatkan diri dan kualiti hati kita. Orang-orang soleh yang selalu kita baca kisahnya, sentiasa berbaik sangka dengan Allah atas apa saja yang Allah datangkan kepada mereka. Seperti sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa yang dikehendaki Allah menjadi baik, maka diberinya penderitaan.” (Riwayat Bukhari)

Allah Pengubat Hati
# Entri ini adalah ditujukan pada diri saya sendiri, sebagai peringatan untuk sentiasa mengubati hati dari noda.
InSyaAllah

Sunday, November 18, 2012

SABAR HINGGA SAMPAI KETETAPAN NYA

 Assalamualaikum.

Alhamdulillah Allah telah beri kekuatan pada saya untuk kemaskini blog buruk ini. Itupon saya tulis didalam office dahulu sebelum diletakkan di sini.

Untuk pengetahuan semua, saya masih belum kuat. Saya masih berusaha mencari kekuatan diri. Dan usaha ini adalah satu ujian yang penuh liku dan onak dan duri. Tetapi saya tidak mampu mengalah kerana inilah takdir hidup saya.   Saya dalam satu perjalanan yang sungguh-sungguh panjang. Ia menuntut saya untuk terus-terusan bersabar dan yakin dengan Allah. Dan itulah perkara yang paling sukar untuk saya laksanakan. Sungguh perit sekali. Saya sering tertewas dengan nafsu. Sehingakan iman saya berada pada tahap terendah sekali. Saya sedar untuk berjaya saya harus terus berusaha. Dan seandainya saya akan terkorban, itulah harga yang saya mesti bayar untuk meraih secebis keampunan dari NYA yang ESA.

Hingga saat ini saya baru sedar, yang saya lah yang harus mengejar masa itu. Sayalah yang kesuntukan masa. Ada banyak perkara yang terlalu sukar intuk ditafsir dengan akal. Sehinggakan tiada siapa yang mampu menerangkan pada saya akan apa yang sedang saya lalui.   Ya saya sudah mula faham. Walaupon seringkali di ulang, hanya saat ini saya mula mengerti . Itu pon hanya secubit dari apa yang berlaku. Perasaan saya? Ya Allah, sukarnya untukku terima. Peritnya untukku telan.  Ya Allah hamba Mu mengerti , dalam pada Engkau berikan ku jawapannya, Engkau ujiku dengan persoalan demi persoalan. Sungguh Maha Bijaksana Sang Pencipta ku. Sesungguhnya segalanya adalah dalam ketetapan Nya. Engkaulah sebaik-baik Perancang Ya Allah. Ampunilah segala dosa-dosaku Ya Allah.

Rasa takut, bimbang,gementar seluruh tubuh ku apabila mengingatkan akan kemungkinan yang akan berlaku. Mampukah hamba Mu ini menghadapi semua itu ya Allah?   Jawapannya hanya ada pada Mu ya Allah.

@Doakan saya ya untuk terus bersabar hingga sampai ketetapannya. Juga doakan saya tabah dan kuat untuk menghadapi semua itu ya. @Doakan saya untuk menjadi seperti Khadijah Khuwailid atau Siti Hajar atau Fatimah Azzahra. Doakan saya menjadi seperti yang diharapkan. Saya akan berusaha tunggu saat itu dengan penuh sabar.
@Doakan saya ya.
@Doakan saya ya semua agar saya terus sabar dan setia menanti sesuatu yang pasti itu. InSyaAllah. Amiin.

Mai's Life


Wednesday, November 14, 2012

KEKUATAN & SABAR


Assalamualaikum,

Hidup ini penuh dengan dugaan. Betol kan? Dan apabila kita menghadapi atau berhadapan dengan dugaan dan ujian, pasti akan ada yang berkata; “sabarlah, sabar itu separuh dari iman”. Sabar. Benar hanya SABAR yang tinggal. Tapi tahukah untuk sabar perlukan kekuatan. Kadang-kadang saya rasa marah sangat bila orang cakap sabar, sabar dan sabar. Tahu tak saya sangat lemah. Saya sangat perlukan kekuatan. Kalau saya tak kuat macam mana saya nak sabar. 

Tapi, dalam mencari kekuatan saya kena sabar. Kerana kekuatan tak akan datang begitu sahaja. Ia harus dibina dari sebuah kesabaran. Ya Allah, sungguh hamba Mu ini keliru.

Ya inilah yang saya lalui. Kadangkala saya rasa sungguh lemah dalam melalui ranjau hidup ini. Dan apabila ia menuntut saya untut sabar, saya rasa payah sekali. Dan saya rasa saya sangat-sangat perlukan kekuatan untuk terus sabar. Dan tika itu juga saya sedar dalam mencari kekuatan itu, saya perlu terus sabar. Maka benarlah kata Rasulullah, SABAR ITU SEPARUH DARI IMAN.

Inilah pencarian saya selama ini. Saya sedang mencari kekuatan untuk terus sabar dan Sabar dalam mencari kekuatan itu. Sungguh sukar tapi itulah yang termampu saya lakukan. Satu suara dalam diri saya berkata, “kita kena terus bersabar untuk sabar sehingga kita tidak mampu lagi bersabar. Dan terus sabar juga kerana itu sahaja yang tinggal”.

Pencarian saya takkan pernah berakhir. Setiap hari saya bagaikan satu medan perjuangan. Jika saya lemah dan gagal, saya akan kecundang. Semoga Allah sentiasa megurniakan kesabaran dan kekuatan pada saya agar akhirnya saya berjaya juga. InsyaAllah. Ameen.

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".

"Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami". (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu) Al-A'raf Ayat 126".