Make Me Strong - Sami Yusuf

Monday, October 20, 2014

Allahyarham Kekanda Ku

Hujan turun, guruh berdentum. Saya tiba-tiba teringatkan arwah abang. Sudah lebih 8tahun abang pergi.

Sesuatu yang amat-amat melemahkan semangat saya sebaik kami semua berlalu meninggalkan tanah perkuburan yang hampir kesemua peghuninya adalah ahli keluarga.

Selama menjadi seorang anak kedua dan seorang adik, tidak pernah difikiran saya untuk tiba-tiba memikul beban seorang anak sulung.
Selama ini, harapan, kebergantungan kami adalah pada arwah abang.

2 minggu sebelum pemergian Muhammad Syukur bin Mansor, beliau kelihatan semakin melemah. Kurus sekali, dulu dengan ketinggian 5kaki 10 inci, abang nampak tegap, gagah dan kacak. Hari itu, aku sedar arwah akan dijemput Ilahi pada bila-bila masa sahaja. Sedang aku menonton tv sambil bersandar di sofa, arwah pula sedang berbaring di atas katil bujang yang Ngah belikan khusus untuknya. Kami sama-sama menonton tv, ceritanya sudah aku lupa. Tiba-tiba, abang memanggil ku.

"Siti, siti.... " suara abang dalam dan lemah. Aku berpaling kerana aku fikir abang inginkan apa-apa. "Ya, abang nak apa? Nak minum ka?"jawBku selembut dan sesahaja mungkin. Tapi abang diam sambil pandang aku.
"Siti, kalau abang takdak nanti, Siti janji naa uruskan urusan-urusan abang. Nanti Siti la kena jadi anak sulung."
Ya Allah, bagaikan dihempap gunung saat mendengar ucapan itu.
Aku gagahi juga menjawab sambil cuba sedaya upaya senyum padanya,
"Iya, in sya Allah Siti tau lah. Tak dak apa aih".
Kemudian aku cepat-cepat berlalu berpaling dan menuju ke dapur rumah Ngah dengan berpura-pura berniat nak buat air untuk minum petang. Setibanya di dapur, airmataku sudah meleleh laju ke pipi dan kelihatan arwah Ngah ku ketika itu juga turut menangis kerana sedih mendengar kata-kata anak saudaranya. Tangan di dadanya seolah olah menggenggam jantungnya, "Ya Allah, anak menakan aku nak pi dulu dari aku!"

Di hari yang telah ditugaskan pada malaikat Izrail untuk menjemput abang ke pangkuan Penciptanya, setelah aku papah mak kepangkuan satu-satunya anak lelakinya, aku duduk disisi abang sambil menggenggam erat jari-jemarinya. "Siti mintak ampun abang, siti janji siti akan sambung semua urusan abang yang tak selesai." Sebaik sahaja emak cium wajah abang dan bisikkan kalimah perpisahan, "syukur, Emak redha kot pi dulu. Mak ampunkan dan halalkan semuanya". Nafas abang yang tadinya kencang, perlahan-lahan semakin reda. Akhirnya dadanya berhenti bergelombang. Tiada lagi nafas turun naik yang penuh kepayahan.
Subhanallah, suasana sangat tenang. Begitu juga aku, emak dan ahli keluarga yang lain. Pelik, emak tidak lagi menangis begitu juga aku.
Redha, lega dan bersyukur abangku Syukur tidak lagi menderita.
Ma sya Allah, wajahnya manis sekali. Kelihatan setitis airmata mengalir di hujung kedua-dua belah matanya. Air mata terakhir tanda perpisahan. Abang, syukur nama mu Syukur. Engkau pergi mengadap Ilahi dengan penuh kesyukuran kerana mengurniakan mu ujian yang  juga nikmat sebagai bekalan di hari pengadilan.

Terima kasih ya Allah kerana memberiku peluang untuk memikul tanggungjawab kekandaku, Muhammad Syukur bin Masharah.
Abang, Siti mohon maaf jika tidak melaksanakan tugas yang abang amanahkan dengan sempurna. Maafkan Siti ya.

Wassalam.

To: Suka Hirup Asap Hari2
( jagalah diri sebaik mungkin. Saya tahu, awak pemegang amanah yang sangat besar. Janganlah biarkan dirimu terlalu kurus. Sudah cukup saya lihat insan yang saya sayang berkeadaan demikian.lagipon awak nampak x hensem bila kuus keding.) ¤♥¤ ···

No comments: