Make Me Strong - Sami Yusuf

Sunday, May 6, 2012

Salam Kebahagiaan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Beberapa hari ini saya asyik terfikir-fikir untuk menulis sesuatu di blog. Setelah di belek-belek kesemua 'entries' yang lalu, hanya 2 tahun terawal saya banyak menulis. Iyalah, penulisan terus dari hati dan fikiran yang ceria. Cumanya, bermula tahun 2010, setelah mengalami beberapa perkara yang sadis, sedih dan pilu, serta satu anjakan paradigma yang telah didorong oleh Allah yang Esa, saya jarang menulis. Kalau ada pun hanyalah pendek-pendek sahaja. Selebihnya adalah yang diambil dari penulisan orang lain. Tahun itu jugalah saya mula meninggalkan banyak perkara seperti Facebook dan YM. Hobi suka membaca juga sudah berkurang sementelah buku-buku yang saya suka baca adalah bergenre Romance, jadi sudah tentulah banyak perkara lagho disitu. Kemudian, saya mula menjadi seorang blog-walker. Iya, seorang yang suka berkunjung dari blog ke blog.

Kalau di lihat dari senarai blog yang saya letakkan di sini, memang tak banyak. Tetapi kebanyakan blog tersebut mempunyai senarai blog yang banyak. Hehe itulah taktiknya. Selain itu juga saya akan bookmark blog-blog yang saya suka.

Alhamdulillah banyak yang saya dapat dari kebanyakan blog-blog tersebut. Dari bidang politik, ketenteraan, sejarah mahupon Islam semuanya saya ikuti. Syukur banyak yang saya pelajari dan akan terus begitu selagi diizinkan Allah asalkan tidak berlebih-lebihan iA.

Sebenarnya hari ini tiba-tiba saya rasa letih. Susah nak dimengertikan dan dijelaskan. Saya penat sebenarnya dengan hal-ehwal dunia. Bukan sahaja hal-hal yang berlaku disekeliling kehidupan ini tetapi juga hal-hal kehidupan sendiri. Iya, saya penat dengan kehidupan saya. Oh tidak!Tidaklah saya menyalahkan Allah SWT. Tidak sekali-kali. Saya rasa penat kerana hidup saya tidak kemana-mana. Tiada perkembangan yang positif. Dari segi ilmu, saya berasakan sangat cetek sekali samada ilmu dunia mahupon akhirat. Hubungan persahabatn juga semakin jauh kerana urusan kerja dan dunia menyebabkan saya tidak dapat berhubung selalu dengan kawan rapat. Malahan saya sudah pon berpatah arang dengan seorang kawan kerana sikapnya sendiri. Hubungan kekeluargaan Alhamdulillah baik-baik sahaja tetapi saya tidak dapat memberikan apa yang diingini ibu bapa saya. Anda rasa apa ya? Tekalah. Ya soal jodoh. Saya sedih kerana saya belom mampu untuk berkahwin. Oh bukanlah kerana kewangan tapi banyak sebab-sebab lain. Nanti saya ceritakan ya.

Satu-satu perkara yang paling saya sedihkan ialah hubungan dengan Allah sentiasa seperti 'roller coster'.
Hari ini naik esok turun. Minggu ini naik meinggu depan turun. Begitulah sentiasa ia bergerak. Sebenarnya saya dambakan hubungan yang manis, tenang dan indah bersamaNya. Ingin sekali merasai nikmat itu. Sungguh-sungguh. Saya rindu sekali perasaan itu. Dan inilah juga sebabnya saya tidak dapat nak terima sesiapa sebagai pasangan hidup.

Berkenaan pasangan hidup, saya mengimpikan seseorang yang mampu membimbing saya menuju CINTA ALLAH. Saya juga mahukan pasangan bukan sahaja di dunia malahan di syurga juga. Memang ada yang pernah cuba menyunting dari latarbelakang agama yang kukuh. Oh kalaulah semudah itu sudah tentu saya sudah bersuami sekarang ini. Kalau ramai yang mengenali saya, terutama pelajar-pelajar saya, mereka tahu saya seorang yang sangat berbeza pemikirannya. Kerisauan, obsesi saya, rasa paranoia, keinginan saya sangat berbeza sekali.

Saya risaukan tentang Bangsa Melayu dan Islam dan anak bangsanya. Saya obses dengan kisah Imam Mahdi dan mistik (alam ghaib & tasawuf). Saya paranoid dengan tanda-tanda kedatangan dajjal dan akhir zaman. Dan saya inginkan kedamaian dalam menjalani kehidupan yang sederhana dengan Menyintai Allah sepenuhnya. Dengan semua ini, saya jadi terfikir adakah saya akan bersama-sama seseorang yang langsung tidak peduli dengan semua ini.

 Oh saya tidak memilih dari segi rupa, pangkat atau hartanya. Seandainya dia hanyalah seorang petani, saya redho. Tapi iyalah, saya terlalu meminta-minta. Kata sahabat saya Zanariah, "Maizurah mintalah yang terbaik sahaja dari Allah, jangan demand". Betol juga.Seorang blogger yang saya panggil adik ada bercakap, " asalkan lelaki itu seorang yang soleh dan dapat membimbing akak.." Iya itu sahaja yang penting. Ada yang berkata, "lelaki soleh tidak bermakna dia seorang ustaz atau mesti kelihatan seperti itu. Asalkan dia mampu menjadi pemimpin dan membimbing ke jalan yang diredhoi Allah dan bersama-sama menyintai Allah." Oh inilah yang terbaik, tapi adakah saya layak untuk orang sebegitu. Kata orang lagi, kalau nak dapat lelaki yang soleh, kenalah jadi solehah. Malinda sahabat saya di KUSZA dahulu pernah kata, "anti lelaki soleh untuk wanita solehah." Jadi, nak jadi solehah kita kena kenal Allah betol-betol. Nak kenal Allah kena kenal diri dulu. Ada seorang blogger berkata dalam emailnya pada saya, "saudari kena bersihkan hati". Ya hati yang bersih dapat membawa kita mengenal Allah dengan lebih mudah. Masalahnya saya sendiri terkial-kial dalam nak mengenal diri sendiri apatah lagi nak bersihkan hatiyang diselaputi dosa dan noda. MaSyaAllah. Ya Allah bantulah hambamu ini.

Inilah dilema hidup saya. Seseorang pernah menasihati,"teruskan beribadah." Ada lagi berkata, "akak kena terus sentiasa berdoa dan bertahajud". YA Allah berilah aku kekuatan untuk terus dekat padamu. Dan inilah juga cabaran bagi saya iaitu ganguan dari makhluk bernama Iblis. Benar, Iblis dan konco-konconya sudah berputus asa dengan perkara besar, jadi mereka menggunakan perkara yang lebih halus yang tidak kita sedari. Ya Allah hambamu ini masih lemah. Selalu leka sehingga sering terbawa-bawa dengan hasutan Iblis. Saya berharap sangat dipermudahkan segala urusan.

Pembaca sekalian, inilah pertama kali saya benar-benar meluahkan rasa hati. Bukan tak pernah, tapi inilah yang betol-betol bermain difikiran dan hati saya. Pada pelajar teacher semua, disebalik sikap teacher yang kadang-kadang gila-gila inilah yang teacher rasa.  Sebab itu teacher selalu bagi tazkirah. Sebab teacher risaukan kamu semua. Sedangkan teacher diuji sebegini, apatah lagi kamu nanti. Teacher minta maaf pada kamu semua kalau teacher tidak menjadi yang terbaik seperti yang kamu harapkan. Maafkan teacher. Pada semua sahabat-sahabatku, maafkan daku yang lemah ini sekiranya ada diri ini menyakiti hati kalian.

Sebenarnya banyak yang bermain dihati dan minda ini. Tapi biarlah dulu disini. Panjang umur, murah rezeki akan ku sambung lagi. InSyaAllah.

p.s# entah kenapa saya sangat berharap 'dia' membaca penulisan ini. siapa 'dia' hanya Allah yang tahu.
Wassalamualaikum.

No comments: