Make Me Strong - Sami Yusuf
Thursday, May 3, 2012
SEBUAH KEMAAFAN
SEBUAH KEMAAFAN
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang
Sebenarnya, Tiap kali saya membaca kisah ini, tiap kali itulah saya menitiskan air mata, meskipun sudah membacanya entah yang ke berapa kali. Ya, cerita ini yang disalin dari sebuah buku adalah suatu kisah yang berlaku di zaman pemerintahan Sayydina Umar Al-Khattab. Sungguh saya tak tertahan, rasa pecah hati, terharu sangat apabila membaca cerita ini.
Dua kali aku menitiskan air mataku, adalah kerana di dalam kisah ini, ada dua tempat yang saya baca, pasti mengalirkan air mata. Justeru kawan, kalau sudah baca kisah ini, dan benar-benar menitiskan air mata, beritahulah saya. Beritahu juga bahagian yang mana membuatkan anda menangis. Yang pastinya, saya yakin ada dua tempat yang mampu membuatkan anda menitiskan air mata. Bacalah kawan, dengan hatimu yang putih, paling bersih. Moga-moga beroleh rasa, Insya-Allah.
Seorang pemuda bernama Hassan, keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur. Setelah sedar dari tidurnya, didapati untanya tidak ada. Hassan lalu terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya tetapi telah mati. Alangkah hairan dan marahnya Hassan.
“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang ada di sisi bangkai unta itu. “Tetapi bukan sengaja,” sambung orang tua itu lagi. “Ketika unta ini memakan tanaman pakcik, pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Lepas itu, ia berpusing-pusing dan jatuh lalu mati.” Orang tua itu bercerita menerangkan kejadian yang sebenarnya.
Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur dengan tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan. Hassan seakan-akan baru bermimpi tersedar dari kejadian itu dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya. Dua orang anak lelaki orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga.
Lalu Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Amirul Mukminin sendiri yang menjadi hakimnya. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, perbicaraan pun dijalankan. Sayyidina Umar selaku hakim setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:
“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di akhirat . Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu dalam beberapa hari kerana saya mohon untuk memberitahu ibubapa saya, anak isteri saya dan saudara-mara tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”
Sayyidina Umar kerana tegas dan adilnya menjawab, “Tidak!. Tiada jaminan bahawa engkau datang lagi untuk menjalani hukuman ini.”
Hassan merayu lagi, “Kasihanilah saya tuan hakim. Semua orang yang mengasihi saya sedang menunggu keputusan saya. Mereka tentu tertanya-tanya kalau saya tidak pulang memberitahu tentang perkara ini.” Sekali lagi, Sayyidina Umar menunjukkan ketegasan dan keadilannya, “Tidak!!,” katanya.
Kali ketiga Hassan merayu, tiba-tiba salah seorang Sahabat bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”
Dengan jaminan yang diberikan oleh Sahabat itu, Abu Zar, Sayyidina Umar pun membenarkan hukuman itu ditangguhkan. Dan Hassan pun dibenarkan pulang setelah menentukan tarikh yang akan datang. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biar saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.” Menangislah ibubapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut pada Allah daripada anak isteri. Dia lebih cintakan Akhirat daripada dunia.
Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu, dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya. Tetapi sudah lewat.
Di padang tempat hukuman hendak dijalankan, kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan. Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hasaan yang datang, mereka bertempik: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik sahaja turun dari kudanya, Hassan menghadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dihukum bunuh, izinkan saya bersolat dua rakaat.”
Sayyidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku dunia dan di Akhirat.” Selesai menyapu muka, Hassan pun menghadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat yang genting itu, tiba-tiba kedua beradik anak si mati menghadap tuan hakim dan berkata:
“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami, Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.” Mendengar itu sekali lagi, padang itu bergema dengan laungan: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan Akhirat. Insya-Allah.
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri,” sabda Rasulullah
Ya Allah! Betapa saya tidak menitiskan airmata, berkali-kali. Cerita yang sebegini indah, yang merakamkan keagungan iman dan kasih sayang adalah satu keajaiban dalam sejarah manusia sepanjang zaman.
kita semua bagaimana?
Selain kisah ini, ada satu lagi kisah yang terjadi terhadap junjungan kecintaan kita, Rasulullah SAW saat-saat kewafatannya yang menyebabkan berkali-kali saya menitiskan air mata. Ya Rasulullah, aku merinduimu, mencintaimu. Ah, bukan dua kali aku mencintaimu ya Rasulullah, bahkan aku mencintaimu yang tiada kali-kalinya. “Ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim, ya Rabbi solli ‘ala Muhammad, ya Rabbi solli ‘alayhi wassalim,” hati saya bernyanyi penuh rindu.
dan kini air mata ku menitis lagi...
Pautan: http://scripters.ning.com/forum/topics/aku-menangis-kerana-mu
pautan lain:
http://www.mukmin.com.my/baca.php?title=Buah%20Iman&id=424&kategori=6